Tun Dr Mahathir Mohamad tidak layak mengkritik kepemimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak kerana beliau mempunyai rekod yang teruk sepanjang menjadi Perdana Menteri.
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, Dr Mahathir telah memporak-perandakan sistem kehakiman di negara ini apabila memecat Ketua Hakim Negara dan menyalahguna Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
“Saya ingat Dr Mahathir ini telah lupa. Dia rasa macam dia jadi Perdana Menteri ni ok sangat, bagus sangat..masa dia tulah sistem undang-undang kita habis dibongkarnya, dibuangnya Ketua Hakim.
“Kalau dia tak pernah jadi Perdana Menteri..tak pernah ada rekod jadi Perdana Menteri, dia nak blame (salahkan) kita, takpelahlah. Ni rekod dia pun teruk,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Seminar Antarabangsa Digital Preservation : Are We On The Right Track di sini pada Rabu.
Nazri berkata, kerana dendam kesumat bekas Perdana Menteri itu terhadap Najib, Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan berdasarkan kemarahan bukan kepada pertimbangan waras.
“Paling baik lagi biarlah dia dengan kemarahan dia, toksah duk layan lah. Saya pun dah lama tak ambik tahu apa yang dia cakap.
“Tak boleh pakailah apa dia cakap. Dah bercelaru. Hari ni dia cakap apa yang dia marah, masa dia jadi Perdana menteri dia buat. Macam mana?,” katanya.