Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Arul Kanda Kandasamy menegaskan tiada campur tangan luar dalam urus tadbir syarikat terbabit.
Sebaliknya, segala keputusan dibuat adalah mengikut urus tadbir syarikat yang ditetapkan.
“Di 1MDB, setiap keputusan besar sama ada penilaian strategik atau pelan rasionalisasi akan melalui Lembaga Pengarah kami, pemegang saham dan Kementerian Kewangan.
“Kita ada debat dan diskusi, itu bukan campur tangan, itu adalah cara kami melaksanakan urus tadbir dalam syarikat melalui ketiga-tiga peringkat itu,” jelas beliau dalam satu program temu bual ‘Soal Jawab’ lewat Rabu di TV3.
Ujarnya, beliau juga tiada masalah disiasat sambil menyifatkan 1MDB sebagai open book berikutan ia syarikat yang paling banyak disiasat oleh pelbagai agensi dalam negara.
“Kami disiasat oleh Bank Negara, Jabatan Audit Negara dan Peguam Negara dan penyiasatan ini juga ada yang masih berlangsung. Sebagai syarikat, kami memberi maklumat yang diperlukan untuk penyiasatan tersebut.”
Arul Kanda dan seluruh ahli lembaga termasuk pengarah 1MDB juga menyatakan kesediaan untuk berjumpa dengan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
“Kami bersedia hadir pada 4, 5, 6 Ogos untuk memberi keterangan kepada PAC, namun disebabkan pertukaran jawatankuasa, ia telah tertangguh walaupun pada tarikh tersebut kami telah bersedia untuk menyatakan fakta dari kami,” katanya.
Beliau turut menyifatkan tugas yang dilakukan setiap badan penyiasat sebagai profesional khususnya PAC yang dilihat paling sesuai menjalankan siasatan berkenaan.
“Perdana Menteri menyatakan secara terbuka sekiranya terdapat perbuatan salah, tindakan tegas akan diambil. Pada saya, apa saya lihat siasatan dijalankan PAC memang menyeluruh dan profesional.
“PAC adalah institusi yang betul untuk menyiasat perkara ini kerana ada wakil daripada pihak pembangkang dan kerajaan. Jadi soalan-soalan mereka lebih bersifat bipartisan dan adalah tanggungjawab kami untuk memberikan segala fakta yang diminta,” ulasnya.
Biarpun berdepan pelbagai tohmahan, Arul Kanda berkata fokus syarikat itu adalah untuk melaksanakan pelan yang dirancang termasuk menstabilkan kewangan syarikat sebelum meneruskan rancangan seterusnya.
“Walaupun ada tohmahan dan kritikan itu lumrah, kita terpaksa terima. Rakyat mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat mereka. Tetapi apapun kita perlu ambil langkah sewajarnya untuk kemajuan syarikat.”
Jelasnya apa yang penting adalah penyiasatan perlu diteruskan dan kebenaran dan fakta perlu diutarakan dalam menjawab segala tohman dan persepsi negatif rakyat.
“Biar penyiasat buat kerja dengan telus dan profesional. Tanggungjawab saya bukan mencari kesalahan tetapi menyelesaikan beban hutang syarikat. Dengan sokongan warga 1MDB dan Kementerian Kewangan, diharapkan dapat selesaikan beban hutang itu,” tambahnya.