Quantcast
Channel: Wowberita
Viewing all articles
Browse latest Browse all 4997

PKR Minta Maaf Fitnah Khalid Ibrahim

$
0
0

Parti Keadilan Rakyat (PKR) memohon maaf kepada bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kerana mengeluarkan dokumen yang memfitnah beliau.

Permohonan maaf itu dipersetujui kedua-dua pihak bagi penyelesaian saman yang difailkan Khalid terhadap Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan PKR kerana mengeluarkan dokumen itu.

Persetujuan itu dicapai di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman, M Gunalan di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Jumaat.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut hadir dalam prosiding itu sebagai saksi.

Saifuddin, bekas Setiausaha Agung PKR membacakan permohonan maaf itu bagi pihak PKR dan dirinya.

“Dokumen tersebut telah menyatakan dan memberi gambaran bahawa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim adalah seorang yang korup, zalim, tidak boleh dipercayai, tidak bersikap telus, tidak jujur, tidak beretika, tidak beramanah, tidak berintegriti, telah terlibat dengan perlakuan rasuah dan salah laku dan tidak layak menjadi Menteri Besar Selangor.

“Bagi pihak PKR dan secara peribadi, kami melahirkan rasa amat kesal dan dengan ikhlas dan suci hati serta tanpa syarat memohon maaf kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Bagi pihak PKR dan secara peribadi, kami juga memberi akujanji kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Mahkamah Mulia ini bahawa kenyataan-kenyataan tersebut tidak seharusnya dikatakan dan kami akan memberhentikan daripada menyatakan dan tidak akan mengulangi kandungan dan tuduhan-tuduhan dalam dokumen tersebut dan apa-apa kandungan yang berkaitan dengan dokumen tersebut,”.

Dalam kenyataan penerimaan maaf, Abdul Khalid berkata, sempena bulan Syawal beliau juga memohon maaf zahir dan batin jika ada menyinggung perasaan mana-mana pihak termasuk Saifuddin dan ahli PKR yang lain.

Khalid memfailkan saman terhadap Saifuddin dan PKR pada 18 Ogos tahun lalu berhubung pengedaran dokumen ‘Keputusan Menggantikan Menteri Besar Selangor’ bertarikh 4 Ogos 2014 yang didakwa memfitnah beliau.

Dokumen itu dikeluarkan sebagai salah satu usaha PKR untuk menggantikan Khalid sebagai Menteri Besar Selangor ketika itu yang mengaitkan beliau dengan beberapa isu termasuk penyelesaian hutang Bank Islam, penstrukturan semula air, dan penjualan tanah kepada EcoWorld.

Khalid ‘dipaksa’ meletak jawatan Menteri Besar pada 21 September 2014 selepas melalui kemelut politik berpanjangan yang dimulakan menerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang atau Langkah Kajang.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 4997