Quantcast
Channel: Wowberita
Viewing all articles
Browse latest Browse all 4997

Ratchanok Cipta Rekod Juara Termuda Kejohanan Dunia

$
0
0

Ratchanok Intanon terduduk dan menangis. Dia punya banyak sebab untuk bergembira selepas melakar sejarah merangkul kejuaraan perseorangan wanita dunia dengan menumbangkan bintang tuan rumah, Li Xuerui semalam.

Pertama, dia merupakan pemain Thailand pertama memenangi gelaran badminton dunia dalam mana-mana acara. Kedua, dia adalah juara perseorangan termuda, baik dalam saingan lelaki mahupun wanita pada usia 18 tahun.

Ketiga, hari ini adalah sambutan Hari Ibu di Thailand, selain ulang tahun Ratu Thailand, justeru kemenangan Ratchanok yang diraikan secara besar-besaran di negaranya merupakan hadiah istimewa untuk diberikan kepada ibunya dan Ratu.

Malah hari ini, sejurus pulang ke tanahair, Ratchanok akan menjadi tetamu istimewa Ratu dan diundang ke istana. Semua pengalaman tersebut amat bermakna buat gadis remaja yang amat lembut dalam pertuturannya.

Semalam, Ratchanok menamatkan dominasi 14 tahun China dalam perseorangan wanita selepas menumbangkan juara Sukan Olimpik dan pemain No. 1 dunia, Xuerui 20-22, 18-21, 21-14 dalam masa 65 minit.

Kemenangan tersebut bukan saja membuatkan ribuan penyokong tuan rumah di Gimnasium Tianhe tergamam, malah menjadikan Ratchanok pemain bukan China pertama muncul juara perseorangan wanita sejak Camilla Martin dari Denmark melakukannya pada 1999.

“Pertama, saya harap kemenangan ini dapat merubah persepsi dunia terhadap badminton Thailand selepas pergaduhan beregu lelaki kami (Bodin Issara, Moneepong Jongjit).

“Kedua, esok (hari ini) adalah sambutan Hari Ibu di Thailand dan juga ulang tahun kelahiran Ratu. Ratu hendak berjumpa dengan saya esok, jadi saya mahu beri kemenangan ini sebagai hadiah buat ibu dan Ratu,” ujar Ratchanok.

Juara remaja dunia tiga kali itu menambah, kemenangan semalam telah membuang rasa rendah diri yang selama ini bersarang dalam dirinya, terutama apabila berdepan pemain-pemain terbaik dunia.

Walaupun telah mencuri tumpuan sejak kejayaan melangkah ke final All England, Mac lalu, Ratchanok, yang pernah melakar sejarah muncul juara remaja dunia termuda pada usia 14 tahun di Alor Setar 2009 mengakui, keraguan untuk mengalahkan pemain handalan dunia sentiasa membayanginya.

“Kemenangan hari ini merubah segalanya. Ia memberi keyakinan kepada saya selepas tidak pernah yakin untuk mengalahkan pemain utama dunia selama ini.

“Badminton sudah banyak membantu saya merubah kehidupan keluarga sejak tiga tahun lalu. Sekarang saya sudah boleh membelikan kedua ibubapa saya kereta dan bapa saya juga telah dinaikkan pangkat daripada buruh biasa ke bahagian pentadbiran di tempat kerjanya.

“Sekarang, saya ingin menikmati kejayaan ini dulu.. sebelum kembali bekerja keras untuk melakukan persiapan bagi menghadapi Sukan Olimpik Rio 2016,” katanya, yang baru pulih daripada kecederaan kaki, bulan lalu.

Incoming search terms:


Viewing all articles
Browse latest Browse all 4997