Akibat merakam video seorang pelajar wanita sedang mandi, seorang pembantu pejabat didenda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret hari ini.
Majistret Erry Shahriman Nor Aripin menjatuhkan hukuman itu ke atas Choo Chin Ho, 25, selepas dia mengaku bersalah merakam video pelajar kolej berusia 23 tahun itu tiga hari lepas.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara empat bulan jika gagal membayar denda. Dia membayar denda itu.
Chin Ho didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Wangsa Maju di sini pada 7.45 malam, 24 Ogos lepas mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya.
Mengikut fakta kes, mangsa ternampak bayang-bayang orang di tepi tingkap bilik air ketika beliau sedang mandi lalu memanggil teman lelakinya untuk memeriksanya.
Teman lelaki mangsa kemudian keluar dari rumah dan menuju ke tangga (di sebelah luar rumah itu) sebelum ternampak Chin Ho yang dalam keadaan mencurigakan, sedang berdiri di situ.
Teman lelaki mangsa bertanya kepada Chin Ho tujuannya berada di situ dan dia memberitahu sedang menunggu rakannya.
Namun, teman lelaki mangsa ternampak telefon bimbit Chin Ho yang mengandungi rakaman video mangsa sedang mandi.
Ketika rayuan, tertuduh yang diwakili peguam Zulkifli Awang memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda minimum dengan alasan perlu menanggung ibunya dan seorang adik yang masih belajar di kolej.
Timbalan Pendakwa Raya Najwa Bistamam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat dengan mengambil kira jenayah yang dilakukan tertuduh bertujuan memalukan mangsa.
“Walaupun gambar tidak jelas, tetapi niat tertuduh adalah satu niat yang tidak baik. Mohon mahkamah mengambil kira jika tertuduh tidak diberkas, satu jenayah lain mungkin berlaku yang membawa kepada perbuatan tidak bermoral,” katanya.