Personaliti radio iaitu Aleya mengakui ada masanya dia keliru untuk membezakan anak kembarnya yang mana satu Aza Ameena dan Asha Ameena.
Aleya atau nama sebenarnya Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid, 30, berkata, wajah anak kembarnya yang berusia empat tahun itu turut menimbulkan masalah kepada ibu dan ayahnya kerana mereka juga sukar mengenalinya.
“Kekeliruan bukan hanya berlaku pada orang yang pertama kali melihat anak-anak saya, tetapi juga saya sendiri dan keluarga yang lain.
“Susah nak membezakan anak kembar saya lebih-lebih lagi apabila karakter mereka tidak jauh berbeza.
“Tetapi ada sahabat baik saya memanggil mereka ‘sunshine’ dan ‘moony’ di mana apabila kita fikirkan cahaya matahari, ia lebih kepada Asha kerana sikapnya yang ceria tetapi panas.
“Manakala Aza pula ‘moony’. Dia hanya beri sedikit saja ruang untuk mengenalinya,” kata Aleya.
Sementara itu, bercerita mengenai sambutan Hari Rata pula, seperti biasa Aleya akan menyambutnya bersama anak-anak sebelum membawa mereka berjumpa dengan bekas suaminya, Muhammad Ashraf Aasimudin, 32.
“Alhamdulillah, saya dan bekas suami tidak pernah mempunyai krisis dan ini memudahkan kami dalam hal pengurusan anak.
“Macam biasa pada hari pertama Aidilfitri, Asha dan Aza beraya bersama saya sekeluarga. Kemudian di sebelah petang pula Ashraf akan membawa mereka pulang ke kampungnya di Jeram, Perak,” tuturnya.