Pelakon Raja Farah selamat bergelar isteri buat kali kedua kepada Iskandar Ismail,33, dalam satu majlis akad nikah yang berlangsung di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor pagi tadi.
Raja Farah atau nama sebenarnya Raja Farah Raja Aziz, 27, selamat dinikahkan oleh ayahnya sendiri iaitu Raja Aziz Alhaj Raja Ngah tepat pukul 11.51 pagi dengan sekali lafaz sambil disaksikan Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk Negeri Selangor, Muhammad Ariffin Mohd. Dalhal.
Dalam majlis yang dihadiri kaun keluarga terdekat itu, pelakon filem Aku Masih Dara tersebut menerima mas kahwin berupa tiga dinar emas beserta tujuh dulang hantaran terdiri daripada sepasang kasut, manisan, kek dan set wangian dibalas dengan lima dulang oleh pihak lelaki antaranya senaskhah al-Quran, manisan dan telekung.
Bagaimanapun, jumlah wang hantaran dirahsiakan.
Sebelum ini, Raja Farah pernah mendirikan rumah tangga bersama Megat Bashirun Qhuyum Zakaria 2010 namun, bercerai pada 25 Mei lalu.
Selepas tiga bulan tempoh edahnya tamat, pelakon tersebut mengejutkan ramai pihak apabila bertunang dengan lelaki pilihan hatinya pada 8 Ogos lalu.