Penasihat Persatuan Penduduk Lembah Keramat, Mokhtar Omar, 80, berkata, semangat tinggi yang ditunjukkan setiap peserta yang akan menyertai Himpunan Rakyat Bersatu esok, adalah sama dengan perjuangan pemimpin Melayu lama khususnya ketika kaum itu dihina sehingga tercetus peristiwa 13 Mei 1969.
Katanya, peristiwa tersebut berlaku memandangkan tindakan pelampau kaum tertentu yang sengaja masuk ke penempatan orang Melayu di Kuala Lumpur untuk menghina dan mahu menghalau mereka keluar.
Beliau berkata, cubaan itu bagaimanapun gagal kerana penentangan daripada orang Melayu, justeru semangat itu perlu dikekalkan terutama dalam kalangan generasi muda untuk memastikan mereka akan terus dihormati oleh semua kaum.
“Sampai bila kita mahu biarkan mereka menghina bangsa ini, dalam perhimpunan haram Bersih 4.0, gambar pemimpin Islam dipijak-pijak, selama ini mereka mempermainkan bangsa dan agama kita.
“Saya sendiri terlibat mempertahankan orang Melayu pada tahun 1969. Maka saya akan hadir esok, walaupun terpaksa merangkak, saya akan datang memberi sokongan kerana perjuangan seperti inilah yang berjaya mempertahankan orang Melayu daripada dihalau,” katanya.