Berita kematian Timbalan Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara Kevin Anthony Morais disifatkan sebagai sesuatu yang merugikan, kata rakan sekerja, majikan dan ahli keluarganya.
Bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail turut menyifatkan mendiang seorang yang berdedikasi dan boleh dipercayai.
“Dia merupakan pegawai yang baik, dia telah melakukan tugas dia dengan baik dan kami percayakan dia untuk mengendalikan banyak kes penting,” katanya ketika ditemui di perkarangan Hospital Kuala Lumpur, pada Rabu.
Sementara itu adik mendiang, Datuk Richard Morais yang membuat laporan polis mengenai kehilangan mendiang 4 September lalu menyatakan abangnya itu tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum dilarikan.
“Dia seorang yang pandai menyimpan rahsia dan tidak bercakap mengenai tugasnya dengan keluarga. Dia juga seorang yang tegas, bukan calang-calang pendakwaraya dan dia lelaki yang mengikut undang-undang dan komitmen terhadap kerjanya,” katanya.
Sepanjang kerjayanya, Morais pernah dipinjamkan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengendalikan beberapa kes berprofil tinggi.
Dalam pada itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam satu kenyataan menyifatkan kehilangan Kevin Morais satu kerugian besar kepada institusi penegak undang-undang negara ini.
“Seluruh warga kerja SPRM bersimpati dengan kejadian yang menimpa mendiang Morais, yang berkhidmat dengan penuh berdedikasi dan cemerlang di SPRM selama 10 tahun sebelum kembali ke Jabatan Peguam Negara pada Julai 2014.
SPRM berharap keluarga mendiang akan terus tabah menghadapi dugaan ini dan mengucapkan terima kasih kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berjaya merungkaikan kehilangan mendiang Morais,
“SPRM berharap mereka yang bertindak kejam dan tidak berperikemanusiaan akan dibawa ke muka pengadilan,” kata kenyataan itu lagi.
Polis pada Rabu menemui mayat Morais dalam sebuah tong berisi konkrit di USJ Satu, Subang Jaya, pagi Rabu selepas penahanan beberapa suspek utama yang ditahan di beberapa buah lokasi termasuk Pulau Pinang dan Lembah Kelang.