Pelakon baharu Idris Khan menganggap kontroversi video lucah yang mengaitkan namanya bersama dua pelakon lain tidak membantutkan langkahnya untuk terus berada dalam dunia lakonan tanah air.
Idris atau nama sebenarnya Idris Khan Abdul Ghaffar, 27, berkata, dia tidak mahu cepat melatah dan menyifatkan isu tersebut dugaan sebagai pelakon yang baharu enam bulan dalam industri.
“Cerita tentang video lucah itu merepek dan kalau ia benar wujud saya pun nak tengok kesahihannya sebagai bukti.
“Setakat ini, ia hanya fitnah sahaja dan orang yang kenal saya termasuk keluarga dan rakan-rakan terdekat tahu saya seorang yang bagaimana,” ujarnya.
Idris diminta mengulas laporan akhbar minggu lalu yang mengaitkan namanya bersama dua pelakon iaitu Atikah Suhaime dan Ammar Alfian melakukan hubungan terlarang.
Dalam pada itu, Idris berkata, sejak dihimpit kontroversi itu minggu lalu, ibu dan rakan-rakan terdekatnya banyak memberi nasihat supaya terus bersabar.
Katanya, setakat ini kontroversi berkenaan tidak menjejaskan tawaran lakonan yang diterima di stesen-stesen televisyen.
“Kalau saya melatah dan marah dengan orang yang buat cerita pun tiada guna juga, biar orang nak cakap apa. Ibu saya juga ada bertanya hal ini dan menasihatkan saya agar tidak mudah melatah jika ia tidak benar.
“Saya bersyukur kerana kontroversi ini tidak pun menjejaskan tawaran-tawaran drama saya terima di beberapa stesen televisyen,” ujarnya.