Dua Anggota Parlimen DAP, Lim Lip Eng (Segambut) dan Gobind Singh Deo (Puchong) diarah keluar daripada Dewan Rakyat ketika sidang berlangsung.
Tindakan itu dibuat Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia selepas kedua dua-dua Ahli Parlimen DAP berkenaan didapati mengingkari peraturan yang ditetapkan.
Lip Eng diarah keluar selepas mempersoalkan tindakan yang tidak membenarkan usulnya mengenai kenaikan kadar tol dibentangkan.
Manakala Gobind menerima nasib yang sama selepas mengkritik keputusan berkenaan selain menyokong usaha Ahli Parlimen Segambut.
Mengulas apa yang menimpanya, Gobind mempertikai keputusan yang telah dibuat Pandikar Amin.
Katanya, usul kenaikan kadar tol amat penting untuk diperjelaskan kepada rakyat dan tindakan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu tidak seharusnya berlaku.
“Rakyat boleh menilai tindakan Pandikar itu kerana saya hanya meminta penjelasan.
“Sekiranya penjelasan saya itu membuatkan Pandikar marah, ia seharusnya tidak patut terjadi.
“Seharusnya Pandikar perlu menilai sesuatu usul itu dengan lebih teliti dan bukannya menolak tanpa menjelaskan sebab yang lebih jelas dengan penolakan usul itu,” katanya.
Sebelum itu, kedua mereka turut mempersoalkan penolakan terhadap usul yang dibuat Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mengenai kehilangan tujuh kanak-kanak Orang Asli untuk dibentangkan pada sesi kali ini.
Mengulas mengenainya, Pandikar Amin menjelaskan usul kenaikan kadar tol dan kehilangan orang Asli di Gua Musang tidak semestinya perlu disegerakan untuk dibentang .