“Saya menangis setiap kali mengutip tulang dan tengkorak yang ditemui di tepi sungai ini, tambahan pula kubur ahli keluarga saya termasuk ayah, abang dan anak perempuan turut berada di sini, tetapi hilang akibat mendapan tanah sejak hampir setahun lalu.
Begitu kata Shafie Md Isa, 61, yang mengumpul lebih 10 tengkorak dan tulang manusia yang ditemui sebelum dikutip dan dikebumikan semula.
Shafie generasi kelima waris yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Seberang Kota, dekat sini, kesal apabila kawasan itu mendap sejak setahun lalu akibat kerja mendalamkan kuala sungai berkenaan bagi membolehkan bot berlabuh di situ.
Berikutan itu, beberapa tulang, rangka dan tengkorak ditemui di kawasan kuala sungai itu hampir setiap hari terutama selepas hujan.
Beberapa rangka dan tengkorak yang ditemui di kawasan berhampiran tanah perkuburan seluas satu hektar itu berusia hampir 100 tahun itu dipercayai menjadi tempat pengebumian lebih 2,000 jenazah termasuk datuk nenek moyang mereka.