Kerajaan negeri Johor mengisytiharkan Ahad sebagai cuti khas peristiwa di seluruh negeri itu berikutan kejayaan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) muncul juara Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).
Pengumuman cuti khas itu dimaklumkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Ismail Karim menerusi entri terbaharu dalam laman Facebook rasmi JDT, The Southern Tigers, pada Sabtu malam.
Jaringan tunggal perancang tengah dari Argentina, Leandro Velazquez pada minit ke-22 membantu skuad Harimau Selatan mengalahkan juara bertahan Liga Tajikistan, FC Istiklol 1-0 pada aksi final di Stadium Central Republican, Dushanbe, Tajikistan.
Untuk rekod, JDT yang sebelum ini dikenali sebagai Johor FC pernah membuat penampilan sulung dalam kempen Piala AFC pada 2009 namun gagal melepasiperingkat kumpulan.