Kerajaan tidak akan menghebahkan sebarang pengumuman awal berhubung perubahan harga runcit petrol dan diesel kepada orang ramai.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hamzah Zainudin berkata, langkah itu bagi mengelakkan pembekal mengawal jualan bahan api tersebut kepada pengguna.
Katanya, perubahan harga petrol RON95, RON96 dan diesel hanya akan diumumkan pada waktu tengah malam hari terakhir setiap bulan mengikut prosedur seperti sebelum ini.
“Sekiranya pengusaha stesen minyak mengetahui kenaikan atau penurunan harga minyak lebih awal, sudah tentu mereka tidak mahu menjual minyak. Ia merupakan satu langkah untuk mengimbangkan kepentingan antara peniaga dan pengguna.
“Oleh itu, kita perlu menunggu sehingga hujung bulan dan pengumuman akan dibuat pada pukul 8 hingga 10 malam,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Fiesta Larut di pentas utama Padang Majlis Daerah Selama, di sini hari ini.
Terdahulu, Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menggesa kerajaan mengkaji semula keputusan untuk tidak mengeluarkan pengumuman mengenai perubahan harga bahan api kepada orang ramai.
Menurut FOMCA, pengumuman awal itu bagi mengelakkan pengguna berada dalam keadaan tidak bersedia dan membolehkan mereka merancang perbelanjaan bulanan mereka.
Menurut Hamzah, pengumuman harga minyak juga tidak boleh diumum lebih awal kerana ia mengikut pasaran harga minyak antarabangsa.