Kementerian Pendidikan akan menyiasat rakaman video memaparkan seorang pelajar lelaki sebuah sekolah menengah ‘melamar’ seorang pelajar perempuan sambil berpelukan dan berciuman di kawasan sekolah yang menjadi viral dalam laman sosial.
BACA: (Video) Aksi Pelajar Berpeluk & Bercumbu Di Sekolah Jadi Viral
Timbalan Menterinya, P. Kamalanathan berkata, kejadian tersebut berlaku di sebuah sekolah menengah di negara ini, namun lokasi sebenar kejadian masih belum dapat dipastikan.
“Secara peribadi saya sendiri masih belum melihat video tersebut tetapi ada mendengar mengenainya. Biar saya lihat dahulu video itu barulah kita dapat tahu apa tindakan seterusnya yang dapat diambil,” katanya selepas mengadakan lawatan dan bertemu calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Sekolah Menengah Pasir Gudang 3, Pasir Gudang, sebentar tadi.
Video berdurasi 15 saat yang menjadi viral dalam laman sosial itu memaparkan seorang pelajar lelaki memegang sekotak hadiah ‘melamar’ seorang pelajar perempuan sambil disaksikan sekumpulan pelajar lain yang menjerit meminta pelajar perempuan itu mencium pelajar lelaki berkenaan.