Cadangan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan supaya merancang perjalanan dengan bangun lebih awal untuk menangani isu peningkatan harga tol nyata mengundang pelbagai reaksi di kalangan orang ramai.
BACA: ‘Bangun Awal Kalau Tak Nak Bayar Tol’ – Menteri
Baru-baru ini, Bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Wangsa Maju, Shahbudin Husin mengritik kenyataan Abdul Rahman yang dianggap sebagai satu penghinaan kepada rakyat.
Menerusi laman blog beliau, shahbudindotcom.blogspot.com, Shahbudin berkata cadangan Rahman keluar awal hanya menunjukkan pemikiran menteri yang tidak matang.
“Kalau beginilah cara berfikir dan melayan rungutan rakyat oleh seorang menteri yang bertaraf Pengarah Komunikasi Strategik BN, lebih baiklah dilantik budak-budak lalok yang jaga parking di sekitar Chow Kit sebagai anggota kabinet,” kata Shahbudin dalam entri terbaharu di laman blognya.
Menurut Shahbudin, pada hakikatnya ramai warga kota yang keluar rumah sebaik saja selepas subuh semata-mata untuk mengelakkan kesesakan jalan raya.
Tetapi mereka seringkali terperangkap dengan urusan lain seperti menghantar isteri ke pejabat dan anak-anak ke sekolah.
“Adakah menteri berkenaan mahu warga kota keluar ke tempat kerja seawal pukul 3 atau 4 pagi setiap hari?” soal Bekas Naib Ketua Pemuda UMNO Wangsa Waju itu.
Malah, Shahbudin turut mempersoal kenyataan Abdul Rahman yang menyatakan kerajaan menyediakan jalan alternatif kepada pengguna jalan raya yang tidak mahu menggunakan tol.
“Adakah semua jalan bertol mempunyai jalan alternatifnya?
“Dari pusat bandar Kuala Lumpur ke Putrajaya misalnya, mana jalan alternatif tanpa tolnya?,” soalnya lagi.
Sementara itu, netizen turut utarakan beberapa cadangan bernas berkenaan caj tol berikutan kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu.
Antara saranan yang popular adalah diskaun tol untuk pengguna yang menggunakan lebuh raya sebelum jam 6 pagi.
Dalam satu sidang media pada Selasa, Rahman Dahlan yang juga Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata penggunaan jalan alternatif adalah satu cara untuk mengelak daripada membayar tol. Namun pengguna jalan raya perlu bangun awal kerana penggunaan jalan alternatif kebiasaannya akan membuatkan masa perjalanan ke destinasi lebih panjang.