Tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membuat serbuan ke atas peniaga vape mendapat reaksi kurang senang orang ramai.
Yang terbaru, anak Perdana Menteri, Nazif Najib menulis status di akaun Facebooknya yang berpendapat jika KKM benar-benar serius untuk menangangi isu ini, dasar dan garis panduan mengenai vape secara terperinci harus dirangka dan diperjelaskan untuk tujuan penguatkuasaan undang-undang.
“Pendirian saya tetap teguh mengenai isu vape dan perkara ini sememangnya perlu dipandang serius jika vape disalahgunakan dengan dadah atau dijual kepada kanak-kanak dan remaja bawah umur oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Jelas Nazif lagi, serbuan yang dibuat ke atas peniaga vape disifatkan sebagai tindakan melulu dan mendatangkan kerugian kepada usahawan muda yang terlibat.
Dalam status Facebook yang terdahulu, Nazif menyatakan harapannya terhadap industri vape ini agar terus berkembang di Malaysia.
Teringat ketika saya melihat kemunculan rokok elektronik dan pelekat nikotin di pasaran beberapa tahun yang lepas….
Posted by Nazif Najib on Wednesday, November 4, 2015
Beliau turut mengakui tidak bersetuju terhadap tindakan pengharamannya dan menyokong agar vaping dilakukan dengan cara yang lebih bertanggungjawab serta beretika terutamanya oleh golongan muda.
Kementerian Kesihatan pada Khamis lalu, melancarkan serbuan pertama terhadap berpuluh-puluh premis menjual perisa vape yang mengandungi nikotin di seluruh negara.
Tindakan ini adalah kempen membanteras penjualan cecair nikotin tanpa lesen di seluruh negara yang termaktub di bawah Akta Makanan 1983 dan Akta Racun 1952.