Pemegang konsesi Lebuhraya Pantai Timur (LPT) mengesyaki ada aktiviti pembalakan berlaku di kawasan banjir lumpur di KM 52.4 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, semalam.
Bagaimanapun, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Anih Berhad Datuk Azmil Khalid enggan mengesahkan sebarang aktiviti yang berlaku.
“Saya tidak nampak sendiri, saya tak berani cakap. Nanti fitnah pula.
“Saya tak kata yakin, saya rasa ada. Kalau tidak tak akan perkara ini berlaku,” tegas Azmil.
Tambahnya, pemantauan yang dilakukan pihaknya adalah terhad di mana pemegang konsesi hanya dibenarkan membuat pemantauan di kawasan seliaan mereka sahaja.
Beliau pada masa sama menafikan maklumat yang disebarkan kononnya kejadian yang berlaku semalam adalah kejadian tanah runtuh.
“Kalau pergerakan tanah itu tanah runtuh. Ini bukan tanah runtuh, ini aliran air dan debu. Hanya yang boleh bagi pengesahan adalah kita, yang tengok sendiri di sini,” tegasnya.
Beliau pada masa sama mencadangkan supaya satu sesi dialog diwujudkan antara pihaknya bersama dengan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta beberapa lagi agensi lain dalam menangani isu ini.
Azmil juga telah mengarahkan pihaknya untuk melakukan kerja-kerja pembersihan dalam kadar segera bagi memastikan lebuhraya tersebut dapat digunakan dengan segera.