Quantcast
Channel: Wowberita
Viewing all articles
Browse latest Browse all 4997

Isu YAPIEM: Jamil Khir Jawab Tuduhan Salah Guna Wang Anak Yatim

$
0
0

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menafikan dakwaan yang beliau menyalahgunakan hasil sumbangan orang ramai bagi membiayai perjalanan ke luar negara dan ia adalah
kenyataan jahat berupa fitnah serta menyimpang daripada fakta sebenar.

Sehubungan itu, Jamil Khir menuntut Pengarah NOW (National Oversight and Whistleblowers) Akmal Nasir dan The Malaysian Insider menarik balik dakwaan dan fitnah jahat yang dibuat serta memohon maaf secara terbuka dalam tempoh 24 jam.

“Jika tidak, saya akan memulakan tindakan saman fitnah dan malu melalui peguam saya kerana tindakan ini benar-benar telah menjatuhkan maruah kredibiliti saya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Portal berita, The Malaysian Insider hari ini melaporkan dakwaan Akmal mengenai lawatan Jamil Khir itu dan beliau turut mendedahkan beberapa dokumen yang merujuk kepada perbelanjaan Jamil Khir ke luar negara untuk menghadiri program dan dibiayai Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

Beliau berkata lawatannya ke Amerika Syarikat (Amerika) pada 21 hingga 29 Mei 2014 adalah bagi memenuhi jemputan program yang dianjurkan agensi di bawah seliaannya, terutama YaPEIM dengan kerjasama Kedutaan Malaysia di Amerika.

Ini termasuk program Education Malaysia (EM) Chicago sempena Mid West Game yang menghimpunkan lebih 1,000 pelajar dari Amerika serta Kanada, kata Jamil Khir.

“Dakwaan kononnya program saya di Amerika bersifat bersuka ria menggunakan dana anak yatim adalah satu fitnah besar dan cubaan untuk menjatuhkan kredibiliti dan maruah saya selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata “adalah tidak adil hanya mempamerkan dokumen yang mengelirukan dan tidak menggambarkan keseluruhan program melibatkan saya.”

Jamil Khir berkata beliau sentiasa terbuka dan bersedia memberi kerjasama sepenuhnya dengan pihak berkuasa untuk disiasat sekiranya benar wujudnya salah laku melibatkan dirinya atau agensi di bawah seliaannya.

“Tiada apa yang perlu disembunyikan kerana segalanya mengikut prosedur dan tata cara yang ditetapkan,” katanya.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 4997