Satu keluarga rakyat Malaysia yang sedang bercuti di Paris pada mulanya mahu makan malam di kedai piza berhampiran restoran Le Petit Cambodge, tetapi membatalkan hasrat mereka kerana ia sudah penuh.
Tanpa disedari, langkah itu telah menyelamatkan nyawa mereka kerana restoran tersebut menjadi antara sasaran serangan pada Jumaat malam.
“Ia penuh kerana ia Jumaat malam. Jadi kami mengambil keputusan untuk makan malam di Place de la République (Dataran Republik) yang hampir dengan hotel kami, yang terletak kira-kira lapan minit perjalanan daripada restoran yang diserang itu,” kata Muhammad Afifi Che Rawi, 30, yang dihubungi Bernama dari sini.
Ketika kembali ke hotel mereka, beliau berkata kereta polis telah mula memenuhi laluan ke arah Alibert Street, di mana terletaknya Le Petit Cambodge.
“Pada masa itu juga saya menerima berita mengenai beberapa serangan di Paris,” katanya yang ke Paris bersama isterinya Shuhada A Karim, 29, dan anak mereka Imaan, dua tahun.
“Tidak lama selepas itu, polis mula membuat sekatan jalan raya di hadapan hotel kami sehingga menuju ke restoran berkenaan, menghalang kenderaan daripada memasuki kawasan berkenaan,” katanya.
Malam itu dipenuhi dengan bunyi siren, menambah lagi suasana kekalutan sedia ada, kata Muhammad Afifi yang turut terkejut dengan kejadian tersebut.
“Sekitar pukul 10 malam, seorang wanita kelihatan berlari dengan penuh histeria daripada jalan di mana terletaknya restoran tersebut, menangis dan menjerit-jerit dalam bahasa Perancis. Dia berlari ke arah hotel kami,” katanya.
“Saya tidak tahu apa yang berlaku kepadanya kemudiannya. Ketika ini awal pagi dan pihak polis masih mengawal kawasan hotel kami,” katanya.
Beliau berkata beliau akan cuba untuk berpindah hotel atau mencari kedutaan Malaysia kerana bimbangkan keselamatan keluarganya.
Dilaporkan lebih 100 orang terbunuh dalam serangan itu di beberapa sasaran di Paris menyebabkan Presiden Perancis, François Hollande mengarahkan kawasan sempadan ditutup di samping mengisytiharkan darurat.