Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar diminta untuk memberi penjelasan berhubung gambarnya bersama ‘puteri’ Sulu, Jacel Kiram yang tersebar dan viral di media sosial.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, perkara itu penting kerana ia merupakan isu sensitif dan Nurul Izzah sewajarnya tidak membiarkan orang ramai membuat membuat sebarang spekulasi yang tidak betul.
“Benda itu (bergambar dengan Jacel) memang sensitif. Nurul Izzah perlu sahkan gambar itu dan memberikan penerangan. Jangan bagi orang buat spekulasi yang tidak betul.
“Dia kena jelaskan sebab benda ini dah jadi viral,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli enggan mengulas lanjut mengenai gambar Nurul Izzah dan Jacel tersebut.
“Kena tanya dia (Izzah).. saya tak tahu apa-apa mengenai perkara itu, saya tidak berada di sana. Saya bukannya suami dia,” jawabnya ringkas.
Gambar Nurul Izzah dan Jacel yang tersebar di media sosial mencetuskan persoalan kerana sebelum ini bapanya, Allahyarham Jamalul Kiram III mengisytiharkan diri sendiri sebagai Sultan Sulu yang mempunyai kedaulatan di tanah Sabah dan melakukan serangan untuk menuntut ‘hak’ Kesultanan Sulu.