Pelakon Farid Kamil dan isterinya Diana Danielle telah menamakan cahaya mata kedua mereka, Nur Aurora.
Menurut Farid, nama tersebut dipilih sempena kelahiran Aurora yang hampir dengan waktu Subuh.
“Saya dan Dee (Diana) sepakat untuk memberi nama Nur Aurora yang membawa maksud cahaya fajar dan ia sangat istimewa buat kami.
“Ketika melahirkan Aurora, isteri saya tidak mengalami sebarang masalah dan saya akui teknik bersalin dalam air sangat membantu serta memudahkan proses kelahiran,” katanya kepada Astro Gempak.
Farid ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Rangkaian Promos Filem Langit Cinta bertempat di Menara Kuala Lumpur berkata, buat masa ini dia masih belum mempunyai perancangan untuk membuat akaun Instagram untuk Aurora.
“Buat masa ini saya ingin memberikan fokus kepada Dee yang sedang berpantang dan masih belum fikirkan tentang akaun Instagram untuk Aurora.
“Tetapi dalam masa terdekat ini saya akan mendedahkan wajah Aurora menerusi Instagram kami, Insha-Allah.” ujarnya.
Terdahulu, Diana Danielle selamat melahirkan bayi perempuan pada 19 November lalu di Hospital Pantai, Bangsar.