Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar tidak mempunyai kuasa eksekutif untuk mengharamkan penjualan rokok elektronik atau vape kerana bidang kuasa itu di bawah Kerajaan Negeri, kata Syahredzan Johan.
Bagaimanapun, jelas peguam itu, kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk membuat larangan berkenaan mengikut titah Sultan Ibrahim namun kerajaan negeri juga boleh memilih untuk tidak melaksanakan larangan itu.
Syahredzan bagaimanapun berkata kerajaan negeri tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengharamkan aktiviti menghisap vape.
“Jika larangan itu dilaksanakan, ia hanya melibatkan pengharaman menjual produk vape di peringkat majlis tempatan.
“Kerajaan negeri tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengharamkan perbuatan menghisap vape kerana bidang kuasa itu di bawah Kerajaan Persekutuan,” tambah Syahredzan dalam satu status di akaun Facebook peribadinya.
Dalam status berkenaan, Syahredzan turut bersetuju dengan titah baginda, di mana isu vape tidak sepatutnya dijadikan isu perkauman seperti yang dilakukan sesetengah pihak.
Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam dalam satu kenyataan pada Ahad menyifatkan titah perintah Sultan Ibrahim selari dengan hasrat kementeriannya untuk menurunkan peratusan mereka yang merokok termasuk menggunakan rokok elektronik.
“Kementerian Kesihatan menyambut baik perkara ini kerana kesan negatif penggunaan rokok elektronik ini mengambil masa bertahun-tahun dan oleh itu wajar supaya tindakan diambil sekarang untuk menghentikan tabiat berkenaan.
“Semoga dengan titah Sultan Ibrahim berkaitan perkara ini, kesihatan rakyat Johor akan semakin meningkat dan dicontohi oleh negeri-negeri yang lain,” tambah Dr Subramaniam.
Sebelum ini, Sultan Ibrahim menitahkan penjualan rokok elektronik atau vape diharamkan di negeri tersebut.
Laporan akhbar The Star pada Ahad menyebut baginda memberi tempoh sebulan kepada semua peniaga vape di negeri itu untuk menutup premis perniagaan mereka bermula 1 Januari 2016.
Berikutan titah DYMM Sultan Ibrahim, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Datuk Ayub Rahmat berkata, kerajaan negeri akan membincangkan titah baginda pada mesyuarat majlis kerajaan negeri dalam masa terdekat.
Pihaknya bersama agensi berkaitan seperti Jabatan Kesihatan Negeri Johor dan Bahagian Farmasi akan turut mengadakan perbincangan mengenai perkara itu sebelum dikemukakan pada mesyuarat terbabit, katanya.