Quantcast
Channel: Wowberita
Viewing all articles
Browse latest Browse all 4997

Siti Nurhaliza Sah Keguguran, Anggap Ia Ujian Allah

$
0
0

Penyanyi tersohor negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin membuat kenyataan terbuka mengenai keguguran kandungannya pada pagi Selasa dalam laman sosial, Instagramnya, @ctdk.

Isteri kepada Dato’ Sri Khalid Mohamad Jiwa baru dua bulan yang lalu berkongsi berita gembira beliau hamil selepas sembilan tahun mendirikan rumah tangga.

Bagaimanapun, berita baik itu tidak kekal lama dan Siti dalam status yang dimuatnaik itu menyatakan dia redha dengan apa yang berlaku dan tetap bersyukur dengan anugerah yang dipinjamkan sementara buatnya.

“Ternyata Allah SWT hanya pinjamkan anugerah ini untuk seketika sahaja. Hanya sempat selama dua bulan saya kandungkan dan Khamis minggu lepas saya keguguran. Saya redha dan jauh di sudut hati amat bersyukur kerana Allah SWT telah memberikan saya jawapan di atas setiap doa. InsyaAllah ia permulaan untuk anugerah yang seterusnya.

“Ada sebabnya Siti enggan mengiyakan atau menafikan berita kehamilan tersebut. Usia kandungan pada waktu itu masih terlalu “fragile”. Saya hanya menantikan waktu yang sesuai untuk mendedahkan berita gembira itu, namun takdir Allah telah tertulis,” tambahnya.

Walaupun Siti sendiri belum membuat sebarang pengakuan, namun kata-kata yang dikongsikan dalam laman Instagram dipercayai miliknya dikongsi secara meluas oleh peminat dan pihak media.

Siti juga bersikap positif malah menyifatkan apa yang berlaku lebih mendekatkan dan meningkatkan keimanan dirinya kepada Allah SWT.

“Siti yakin pada perancang terbaik dalam hidup Siti iaitu Allah SWT,” ujarnya ringkas.

“Selepas habis berpantang, Siti akan menjalani jadual harian seperti biasa. Siti hanya ingin berehat buat masa sekarang. Saya pohon pengertian semua pihak bagi diberikan sedikit ruang untuk saya berehat sebelum mula bekerja seperti biasa.” katanya di akhir status.

Beliau juga mengucapkan terima kasih atas doa dan kata-kata semangat daripada suami, keluarga, peminat dan masyarakat atas keprihatinan mereka.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 4997