Pelawak Helmi The Gimmick memberitahu nyanyian terakhir Allahyarham Yus Jambu ketika di Konsert Raja Band yang diadakan di Dataran Merdeka pada malam Ahad menyentuh perasaan penonton.
Helmi berkata, arwah menyampaikan lagu yang dipopularkan oleh Datuk Ramli Sarip berjudul Bukan Kerana Nama, namun ditukar lirik yang menyelitkan beberapa nasihat kepada orang ramai.
“Ketika dia menyanyi lagu tersebut saya sendiri rasa sebak kerana cara nyanyian serta lagu tersebut diubah liriknya seperti memberi nasihat buat kali terakhir.
“Lagu yang sepatutnya dinyanyikan lirik ‘aku menulis bukan kerana nama’, ditukar kepada ‘aku melawak bukan kerana nama’ serta lirik lain yang banyak menyentuh nasihat. Saya tidak sangka itu adalah kali terakhir saya berkongsi pentas dengannya,” ujarnya.
Helmi berkata, dia yang bertindak sebagai pengacara pada malam tersebut memberitahu arwah menyampai tiga buah lagu termasuk lagu tersebut.
Bagaimanapun, katanya, arwah tidak banyak bercakap dan kelihatan pucat sepanjang persembahan malam itu.
“Dia sangat lain, selalu jika saya melawak dengannya pasti dia sambut, tetapi tidak semalam. Dia banyak diam dan wajahnya pucat.
“Saya tanya adakah dia tidak sihat, namun katanya, dia agak penat,” katanya.
Sementara itu, Helmi berkata, arwah juga merupakan seorang yang perahsia dan tidak memberitahu tentang penyakit yang dihadapinya.
“Saya kenal dia ketika satu pentas Raja Lawak musim pertama dan dia seorang yang suka menyendiri. Ketika di hospital semalam pun saya ada bertanya kepada keluarganya tentang penyakit tersebut.
“Keluarganya mengakui dia ada mengihidap sakit jantung dan asma,” ujarnya.