Mayat tanpa kepala yang dijumpai tentera Filipina baru-baru ini di Sulu disyaki rakyat Malaysia yang menjadi tebusan kumpulan penculik dari Selatan Filipina, Bernard Then.
Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ia berdasarkan penemuan terakhir selain maklumat tambahan oleh pasukan keselamatan Filipina yang diperoleh kementeriannya.
“Saya hendak ucapkan takziah. Dilaporkan bahawa pasukan keselamatan Filipina telah menjumpai mayat tanpa kepala dan ia sudah dibawa untuk proses mengenal pasti DNA,” katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Reezal turut menjelaskan ia merupakan jawapan kepada persoalan yang dibangkitkan Senator Datuk Professor Dr. Sim Kui Hia di Dewan Negara pada Selasa.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pihaknya akan membuat permohonan ekstradisi ke atas dua suspek penculik dan pembunuh Then, daripada pihak berkuasa Filipina dalam masa terdekat.
Jelas Khalid, pihaknya sudah menerima laporan berkenaan tangkapan dua suspek dikenali sebagai Kadafi Kamsa dan Saddam Jailani oleh pihak berkuasa Filipina.
Dalam pada itu jelas Reezal, Kementeriannya sentiasa bekerjasama dengan kementerian lain untuk memastikan pencerobohan kedaulatan negara segera menemui noktah.
“Kita tidak mahu ia berpanjangan sekali gus menjadikan tahap keamanan negara sesuatu yang boleh dipertikaikan,” katanya.
Then, 39, seorang jurutera elektrik dari Sarawak dikatakan dipenggal kepalanya pada 17 November lepas di kubu kuat Abu Sayyaf di Kepulauan Jolo, 1,400km di selatan Manila.