Seorang wanita membuat laporan polis terhadap suaminya, selepas lelaki itu menjatuhkan talak kepadanya melalui emel.
Si isteri mendakwa suaminya berbuat demikian, disebabkan dia berkulit gelap.
Wanita berusia 26 tahun dari Noida itu berkata, emel talak itu diterimanya, tiga hari selepas dia memaklumkan suaminya beliau mengandung.
Menurut laporan Times of India, wanita itu merupakan seorang pembantu penyelidik di sebuah firma farmaseutikal yang berpangkalan di Noida.
Dia mendakwa, suaminya yang merupakan seorang jurutera perisian berusia 35 tahun, telah memalukannya disebabkan warna kulitnya, sejak hari pertama mereka berkahwin, kerana dia mahukan isteri yang berkulit cerah.
Bagaimanapun, suaminya mendakwa, beliau menceraikan isterinya, kerana wanita itu mempunyai masalah kesihatan serius yang sengaja disembunyikan keluarganya, ketika mereka berkahwin empat bulan lalu.
Dakwaan itu dinafikan si isteri yang berkata: “Dari mula lagi, dia bersikap acuh tak acuh dengan saya dan dalam beberapa kejadian, dia menghina dan menampar saya.”
Menurut bapa wanita itu, satu-satunya masalah yang membelenggu anak perempuannya adalah dia alah kepada habuk.
“Dia telah beberapa kali mengadu sikapnya kepada kami,” katanya.