Dikaitkan dengan skandal pelacuran kelas atasan, pelakon Indonesia Nikita Mirzani tampil membela dirinya kelmarin sambil mendakwa bahawa beliau lebih sanggup bergambar bogel daripada bergiat dalam industri seks.
Dalam satu temuramah dalam rancangan popular “Indonesia Lawyers Club” malam Selasa, Nikita berkata beliau menjadi mangsa media tempatan yang mendakwa beliau seorang pekerja seks walaupun beliau tidak didakwa polis.
“Di luar, jika saya mahu tangkap gambar potret tanpa baju sekali pun, saya sanggup kerana saya dibayar, daripada saya jual diri. Saya dibilang pekerja seks komersial, saya tidak boleh terima.
“Saya tidak menjual diri, saya punyai pekerjaan, saya pontang-panting bekerja selama ini,” ujar Nikita sambil menangis dalam rancangan TV One tersebut.
Nikita, 29, dan bekas finalis Ratu Indonesia tahun lepas Puty Revita Sari, 23, ditangkap polis malam Khamis lepas di Hotel Indonesia Kempinski.
Nikita, pelakon filem “Perempuan-perempuan Liar”, didakwa mengenakan bayaran 65 juta rupiah (RM20,000) bagi layanan selama tiga jam, manakala Puty pula meminta 40 juta rupiah (RM12,300).
Mereka berdua dilaporkan menggunakan dua lelaki, hanya dikenali O dan F di media, sebagai orang tengah yang menghubung dengan pelanggan, seorang ahli perniagaan dalam bidang perlombongan.
Dua wanita itu dibebaskan polis atas alasan mereka sekadar mangsa jaringan pelacuran kelas tinggi itu tetapi O dan F disiasat atas dakwaan melakukan perdagangan manusia.
Peguam Nikita, Partahi Sihombing, pula menafikan anak guamnya berada dalam keadaan telanjang ketika diserbu tetapi sedang menukar pakaian dengan yang baru dibeli di sebuah gedung dekat dengan hotel tersebut.
Namun kemudian Nikita tidak mengiktiraf lelaki ini sebagai peguamnya.
Menurut Nikita dalam rancangan itu, beliau dilayan dengan begitu teruk oleh pegawai polis ketika serbuan tersebut.
“Pegawai polis dalam serbuan bilik hotel mendakwa segala-galanya akan berjalan lancar. Tiada gambar, tiada wartawan. Mereka berkata ‘senang sahaja, cuma perlu ikut proses’.
“Namun sebaik sahaja kami keluar dari bilik melalui pintu belakang, terdapat ramai jurugambar,” cerita Nikita.
Beliau juga mendakwa pegawai polis telah mengutarakan ayat lucah kepada beliau, mennuduh beliau sudah lama terlibat dalam pelacuran, dan bertanya harga perkhidmatan seks beliau.