Keenganan mengikut arahan polis pengiring termasuk tidak memberi laluan bagi orang kenamaan utama (VVIP) boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihak yang tidak bertanggugjawab itu boleh dikenakan tindakan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas selain berdepan hukuman mengikut Akta Polis 1967.
“Ada perbincangan (pihak tertentu) yang mengajak orang ramai supaya tidak mengikut arahan polis semasa iring orang kenamaan.
“Saya nasihatkan pengguna jalan raya supaya patuhi arahan polis yang bertugas, ada sebab kenapa mereka iringi VVIP itu…yang utama adalah sebab keselamatan,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian merujuk satu status mengenai polis pengiring yang tidak diberi laluan oleh pengguna jalan raya semasa mengiringi seorang VVIP baru-baru ini.
Status tersebut selain menjadi viral turut membangkitkan perasaan orang ramai untuk bertindak sama iaitu tidak memberi laluan kepada kenderaan VVIP (menteri).
Berikutan itu, Khalid juga meminta portal berita berhenti memainkan isu itu yang seakan-akan bersifat mengajak rakyat supaya mengingkari undang-undang.
“Saya minta anda hentikan perkara ini…tiada baiknya, anda mengajak rakyat supaya ingkar undang-undang,” katanya.