Seorang lelaki berusia 40 tahun ditahan selepas bertindak menunjukkan isyarat ancaman dan biadap terhadap konvoi Sultan Johor di Lebuhraya Utara-Selatan, semalam.
Insiden itu berlaku apabila konvoi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dalam perjalanan kembali ke Johor Baru selepas melawat bandar Muar kira-kira jam 11.20 pagi di Kilometer 95 Lebuhraya PLUS arah selatan.
Ketua Polis Johor, Datuk Wan Ahmad Najmuddin Mohd mengesahkan insiden itu dan penahanan suspek.
“Suspek kini bawah tahanan polis dan akan disiasat di bawah Seksyen 506 dan 509 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan kata-kata atau isyarat yang bertujuan untuk mencabul kehormatan seseorang,” katanya.
Difahamkan suspek yang memandu Perodua Viva bertindak menurunkan cermin keretanya sebelum mengangkat penumbuk dan isyarat lucah terhadap konvoi diraja itu.
Tindakan biadap suspek dilihat oleh Sultan Ibrahim yang kemudiannya mengarahkan ketua keselamatan dirajanya untuk mengambil tindakan.
Polis kemudiannya bertindak menghentikan kenderaan suspek sebelum menahannya.
Suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Ayer Hitam untuk diambil kenyataan.
Suspek turut menjalani ujian air kencing, namun didapati negatif dadah.
Pemeriksaan awal mendedahkan suspek dikatakan dalam perjalanan ke kampungnya di Parit Raja, Batu Pahat dari rumahnya di Puncak Alam, Selangor.
Dia turut mendakwa tidak menyedari sultan berada dalam kenderaan terbabit pada masa itu.
Wan Ahmad turut menasihatkan orang awam agar tidak melakukan perbuatan yang mampu mengguris perasaan orang lain.
“Polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan mengikut undang-undang,” katanya sambil menambah rakyat Malaysia perlu menghormati antara satu sama lain.
Individu yang menggunakan kenderaan ini dipercayai telah menunjukkan isyarat lucah kepada DYMM Sultan Johor. Individu…
Posted by Friends of Johor on Sunday, December 20, 2015