Mungkinkah pencapaian pelari pecut muda negara Badrul Hisham Abd Manap yang memecah rekod kebangsaan 100m dianggap tidak sah gara-gara penganjuran di Brunei tidak mengikut spesifikasi ditetapkan Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF)?
Yang Dipertua Persatuan Olahraga Brunei Darussalam (BAA), Awang Kifli Jaafar meminta Malaysia membuat aduan rasmi mengenai dakwaan Kejohanan Sekolah-Sekolah ASEAN pada bulan lalu yang tidak mengikut peraturan persekutuan tersebut.
Beberapa pihak mendakwa Brunei tidak mengikut spesifikasi ditetapkan IAAF ketika menganjurkan Kejohanan Olahraga Sekolah-Sekolah ASEAN.
Antaranya mengenai alat pengukur angin yang tidak berada di garisan 50m selain bukti ‘photofinish’.
Kedua-dua aspek itu wajib ada untuk dapat pengiktirafan IAAF.
Namun, Brunei minta aduan rasmi dibuat terlebih dulu sebelum sebarang siasatan dijalankan
“Saya sudah berbincang dengan jawatankuasa dan selagi tidak ada surat hitam putih mengenai perkara-perkara ini maka kita tidak boleh ambil sebarang tindakan,” kata Awang.
Pelari sensasi, Badrul Hisham mencipta sejarah apabila memecah rekod kebangsaan 100m di kejohanan itu menerusi catatan 10.29 saat, sekali gus memadamkan rekod terdahulu milik Watson Nyambek yang mencatat masa 10.30 saat.
Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) masih menunggu bukti rekod itu dipecahkan namun gagal dapat maklum balas daripada Brunei.
Catatan 10.29 saat itu bukan sahaja memecah rekod 17 taun milik Watson tetapi memberi sinar terhada masa depan arena pelari pecut negara.