Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan terus dikritik susulan saranannya supaya rakyat Malaysia melakukan dua kerja (#2Kerja) untuk menambah pendapatan.
Bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan turut tidak mahu ketinggalan mengkritik Ahmad Maslan kerana membuat kenyataan yang disifatkan ‘mempersendakan kebodohan diri sendiri’.
Katanya, dalam kehidupan seharian bukan soal untuk mencari rezeki siang malam saja tetapi dalam masa yang sama perlu seimbangkan juga dengan masa untuk keluarga khususnya mendidik anak-anak yang memerlukan masa bersama ibu-bapanya setiap hari.
“Penghidupan kita bukan harus memperhambakan diri siang malam untuk mencari rezeki sehingga anak-anak terabai dari segi pengawasan dan pendidikan dari ibu-bapa mereka. Anak-anak juga memerlukan masa luang bersama ibu-bapa serta institusi kekeluargaan turut memerlukan ruang masa untuk bersama-sama setiap hari bagi menjalinkan keakraban kekeluargaan.
“Namun, kita tak hairanlah kenyataan ini datangnya daripada pemimpin-pemimpin UMNO masa kini yang cukup bangang. Mereka ni terlalu angkuh. Cakap dan tutur kata lebih cepat dari otak mereka. Inilah kualiti pemimpin UMNO pada hari ini,” katanya.
Suami kepada pelakon Umi Aida itu berkata, hakikatnya pentadbiran kerajaan hari ini teruk dan kos sara hidup meningkat tak selari dengan peningkatan pendapatan rakyat.
“Kalau kerajaan efektif; satu kerjaya pun dah cukup untuk tampung hidup keluarga seperti zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad memimpin tanahair kita suatu masa dahulu.
“Zaman kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad kita juga hadapi gawat ekonomi dunia yang cukup parah namun keseluruhan rakyat boleh hidup selesa.
“Ini membawa erti pentadbiran kerajaan masa kini tidak cekap serta tidak efektif lagi. Kemungkinannya terlalu ramai pemimpin-pemimpin masa kini otak mereka berada dalam lutut bukan di kepala kot?, sindirnya.
Katanya, Ahmad Maslan tidak boleh bandingkan kerjaya orang politik dengan golongan marhaen kerana kerjaya politik nempunyai pelbagai kemudahan sampingan dan sumber pendapatan yang boleh datang bergolek dari banyak sumber dengan mudah.
“Tak habis-habis suka buat kenyataan bodoh yang tidak munasabah yang boleh mengguris hati nurani rakyat jelata. Cukup-cukuplah Ahmad Maslan. Kenyataan-kenyataan bangang yang macam inilah membuatkan rakyat semakin menyampah dengan UMNO, Barisan Nasional dan kerajaan.
“Tapi saya tetap yakin Ahmad Maslan tetap terbaik untuk pertandingan Maharaja Lawak kerana sifat semulajadinya itu boleh memenangkan beliau secara spontan,” sindirnya lagi.