Akhirnya pihak pengurusan penyanyi dan pelakon Marsha Milan Londoh, Lalan Entertainment telah mengedarkan siaran media mengenai desas-desus berita yang mengatakan Marsha telah memeluk Islam dan bakal berkahwin tidak lama lagi.
Menerusi siaran media itu, Marsha mengakui sudah pun memeluk Islam beberapa minggu yang lalu dan masih menggekalkan nama asal Marsha Milan Londoh. Upacara tersebut berjalan lancar. Tarikh dan lokasi dirahsiakan atas permintaan keluarga.
“Ya,saya sudah memeluk agama Islam. Segalanya berjalan dengan lancar seperti yang dirancang. Apa yang saya harapkan penghijrahan saya ini tidak disensasikan kerana ia terlalu peribadi buat saya. Apa yang saya mohon di sini jangan dihebohkan perkara ini kerana semuanya sudah selesai demi menghormati kedua belah pihak,” ujar Marsha.
Marsha juga mengakui bahawa dia sudah pun bertunang dengan lelaki yang dikenalinya sejak 10 tahun lalu Mohamed Shaiful Nizam bin Dato Seri Hj. Mohamed Ismail, 29, yang berasal dari Pulau Pinang, seorang ahli perniagaan, pada 14 Disember lalu dalam satu majlis ringkas di kampung Marsha di Sabah. Majlis tersebut hanya dihadiri oleh keluarga terdekat sahaja.
Majlis pernikahan pula akan Pulau Pinang pada 31 Disember ini. Majlis resepsi pula akan diadakan di Kuala Lumpur pada 8 Januari.
“Saya bersetuju untuk berkahwin dengan pasangan saya Mohamed Shaiful Nizam setelah melihat keikhlasan dan kejujuran beliau sepanjang perkenalan kami. Sifatnya yang sentiasa mengambil berat dan hormat dengan ahli keluarga saya amat menambat hati.
“Beliau juga sentiasa memberi sokongan dalam kerjaya seni dan mahu saya lebih maju dalam bidang ini. Di atas iskap yang ditunjukkan ini menguatkan gerak hati saya untuk menerima lamarannya. Doakan majlis perkahwinan saya yang bakal berlangsung berjalan dengan lancar,” pintanya.