Mufti Perlis, Datuk Dr Asri Zainul Abidin berkongsi kisah sedih mengenai luahan hati seorang pramugari Malaysian Airline System Bhd (MAS) yang menderita jiwanya kerana terpaksa menghidangkan arak dan tidak dibenarkan memakai tudung.
Asri berkata, beliau amat simpati dan tersentuh dengan luahan hati pramugari tersebut.
“Malam ini jiwa saya agak tersentuh. Dalam penerbangan MAS malam ini, seorang pramugari datang mengadu dan menangis di hadapan saya mengenai nasibnya. Jiwanya menderita kerana terpaksa menghidangkan arak dan tidak dibenarkan memakai tudung. Dia bekerja untuk menyara anak-anaknya. Ini bukan kali pertama saya mendengar aduan seperti ini.
“Saya sangat simpati dan tersentuh. Lebih sedih lagi memikirkan MAS merupakan sebuah syarikat penerbangan negara yang majoriti penduduknya muslim,”katanya.
Asri turut mengajak rakyat Malaysia memohon kepada pihak kerajaan agar wanita muslimah yang bertugas sebagai pramugari MAS diberikan keizinan untuk memakai pakaian yang memenuhi sifat pakaian seorang wanita muslimah.
“Saya mengajak rakyat Malaysia memohon kepada pihak kerajaan agar wanita muslimah yang bertugas sebagai pramugari MAS diberikan keizinan untuk memakai pakaian yang memenuhi sifat pakaian seorang wanita muslimah. Juga pekerja muslim dan muslimah tidak ditugaskan untuk menghilangkan arak,” tulisnya di posting terbaharu Facebooknya.
Jelas Asri, beliau juga hairan mengapa MAS perlu menyediakan hidangan arak, sedangkan banyak lagi syarikat penerbangan lain yang tidak menghuidangkan minuman itu.
“Terimalah itu sebagai hak mengamalkan agama mereka iaitu Islam. Bahkan MAS tidak wajar menghidangkan arak. Banyak penerbangan yang tidak menghidangkan arak, mengapa perlu kita menghidangkannya?.
“Marilah kita menyokong permohonan ini kepada sebuah kerajaan yang sering melaungkan nama Islam dalam pelbagai slogannya. Mohon mencadangkan,” katanya.