Raja Noor Jan Shah Tuah yang mengakui dirinya sultan Melaka, kini disiasat bawah Akta Hasutan, kata ketua polis negeri itu Datuk Chuah Ghee Lye.
“Ada laporan polis dibuat oleh Pejabat Ketua Menteri Melaka, kami buka siasatan dan dia kini disiasat di bawah Akta Hasutan kerana dakwanya dia sebagai sultan Melaka,” katanya.
Chuah berkata, ini merupakan siasatan kedua yang terhadap Noor Jan.
Sebelum ini, kata Chua, Noor Jan disiasat atas dakwaan memalsukan surat daripada Mahkamah Keadilan Antarabangsa yang mendakwa dia diiktiraf sebagai sultan.
“Kita lihatlah, kalau ada elemen yang sama, kita satukan sahajalah (kedua-dua kes),” kata Chuah.
Isu Noor Jan kembali hangat setelah gambar dia mengadakan majlis mengurniakan darjah kebesaran kepada beberapa individu dan aktivis menjadi viral di dalam sosial media.
Antara yang menerima ‘anugerah’ tersebut ialah aktivis “raja repot”, Abdul Rani Kulup Abdullah (gambar).
Kerajaan Melaka sejak awal lagi menafikan beliau pewaris takhta kesultanan negeri.
Terdahulu Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dilaporkan berkata orang seperti Noor Jan adalah orang gila atau hidup dalam alamnya sendiri.
Noor Jan sebelum ini pernah ditahan polis bagi membantu siasatan bawah akta sama, selepas mengadakan majlis penganugerahan pingat, bintang dan darjah kebesaran yang tidak diiktiraf.
Noor Jan berasal dari Kampung Teluk Perang, Perak juga pernah ditahan ketika dalam perjalanan ke Pulau Besar, Melaka dipercayai menghadiri majlis kesyukuran kewujudan kembali “kesultanan Melayu Melaka”.