Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa, konsep patuh syariah yang diperkenalkan oleh syarikat penerbangan Rayani Air hanyalah untuk mendapatkan keuntungan dengan menggunakan agama Islam.
“Kita dapati pemiliknya bukan orang Islam. Jadi orang bukan Islam yang patuh pada ajaran agama Islam ada juga. Dia dapat keuntungan daripada agama Islam. Sekarang ini, macam-macam benda orang cari keuntungan daripada apa yang ditafsir sebagai kehendak Islam,” katanya sewaktu wawancara eksklusif bersama FMT.
Mengulas mengenai dakwaan Mufti Perlis mengenai pramugari MAS menghidangkan arak kepada penumpang, Tun Mahathir berkata, MAS sudah lama berhenti berbuat demikian.
“Tidak ada, tidak hidang alkohol lagi. MAS sudah lama berhenti dan benda itu tidak sepatutnya timbul. Negara Islam dan penduduknya 100% Islam juga tidak suruh buat seperti itu (henti hidang alkohol sewaktu penerbangan),” katanya.
Rayani Air memperkenalkan imejnya sebagai syarikat penerbangan patuh syariah yang mewajibkan anak kapal kabinnya memakai tudung bagi yang beragama Islam, menyediakan makan minum daripada sumber halal, melarang minuman keras dan mengamalkan bacaan doa sebelum memulakan penerbangan.
Mempunyai 355 kakitangan, lapan juruterbang dan 50 petugas anak kapal kabin, nama Rayani Air merupakan hasil gabungan nama pemilik syarikat penerbangan itu iaitu Ravi Alegandrran dan isterinya Karthiyani Govindan.