Seorang janda dicekup khalwat dengan kekasihnya di sebuah hotel bajet di Taman Muda, di Ampang, awal pagi semalam.
Janda anak satu yang bercerai dengan suaminya sejak 9 bulan lalu memberi alasan dia tidak ada tempat tinggal apabila datang dari Nilai, Negeri Sembilan ke Kuala Lumpur untuk mendaftarkan diri di salah sebuah universiti di ibu kota.
Pasangan itu dicekup kerana disyaki berkhalwat di sebuah bilik hotel pada jam 4 pagi oleh sepasukan anggota penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Pegawai Masjid Al-Azim, Pandan Indah.
Pegawai Masjid Al-Azim Ahmad Nawi Othman berkata, selepas pihaknya mengetuk pintu beberapa kali, seorang lelaki berpakaian lengkap terkejut melihat kehadiran penguatkuasa sebelum membenarkan mereka masuk untuk membuat pemeriksaan.
“Kami menemui seorang wanita yang hanya berseluar pendek keluar dari tandas, mereka mengaku pasangan kekasih selepas gagal menunjukkan bukti mempunyai hubungan mahram,” katanya.
Ahmad Nawi berkata, lelaki berusia 27 tahun itu bekerja di sebuah syarikat telekomunikasi itu sanggup mengambil pasangannya yang berusia 27 tahun itu dari Nilai kemudian bawa ke hotel berkenaan.