Semalampemegang trofi Bintang Paling Popular tiga kali, Shaheizy Sam, mengumumkan bakal melangsungkan perkahwinan dengan aktres Syatilla Melvin. Namun apa yang menarik perhatian ramai adalah nilai tajaan yang diterima pasangan ini iaitu, RM25 juta.
Percaya atau tidak, trend memberi tajaan untuk majlis perkahwinan artis sebenarnya perkara biasa. Sebelum Sam dan Syatilla, ada beberapa nama besar dalam industri seni yang turut mendapat ‘rezeki terpijak’ apabila ramai yang sudi menaja hari bahagia mereka.
Rozita Che Wan dan Zain Saidin
Dengan reputasi Che’ Ta sebagai ikon fesyen, tidak hairanlah mereka menerima penajaan berjumlah kira-kira RM13 juta.
Difahamkan, RM10 juta daripada tajaan itu adalah untuk aksesori yang dipakai pengantin dari sebuah syarikat barangan kemas terkemuka.
Siti Nurhaliza dan Datuk K
Siapa yang tidak mahu memahat nama dalam perkahwinan bersejarah ini? Beberapa sumber menganggarkan nilai tajaan ‘perkahwinan dekad ini’ itu mencecah hampir RM12 juta.
Kebanyakan tajaan adalah berbentuk barang kemas, aksesori dan pakaian.
Norman Hakim dan Memey Suhaiza
Syarikat Rafflesia memberikan tajaan RM12 juta untuk perkahwinan pasangan ini yang bertemakan New York in Black and White.
Gaun yang dikenakan Memey pada majlis berkenaan adalah rekaan Vera Wang dan diterbangkan khas dari Hong Kong.
Ezlynn dan Adam
Sekali lagi Rafflesia bermurah hati menaja perkahwinan pasangan selebriti, kali ini dengan jumlah yang sama dengan jumlah yang diterima Memey dan Norman.
Gaun kuning yang dipakai Ezlynn difahamkan bernilai RM400 ribu, manakala tajaan barang kemas adalah kira-kira RM4 juta.
Mawi dan Ekin
Ketika demam ‘tsuMawi’ melanda negara, perkahwinan bintang kelahiran Akademi Fantasia ini tidak ketinggalan mendapat perhatian.
Banyak pihak bermurah hati memberikan tajaan sebanyak RM5 juta, dengan RM2.5 juta adalah tajaan barangan kemas.
Bulan madu pasangan ini juga turut mendapat tajaan syarikat DCL.