Pelakon dan pelawak Zizan Razak enggan memberi sebarang komen berhubung gosip terbaharu yang mengaitkan dirinya dengan bekas isteri aktor Datuk Eizlan Yusof iaitu Vie Santie Harun.
Zizan atau nama sebenarnya Mohd Razizan Abdul Razak, 32, berkata, tiada sebarang keperluan dia mengulas perkara itu.
“Tiada apa yang saya perlu komen, minta maaf,” katanya ringkas menerusi Whatsapp.
Terdahulu laporan ruangan gosip sebuah akhbar mingguan menyebut Zizan beberapa kali dilihat keluar bersama dengan wanita berkenaan dan mereka dikatakan mempunyai hubungan istimewa.
Ditanya tentang sejauh mana kebenaran gosip berkenaan, Zizan tetap dengan pendiriannya enggan mengulas mengenai perkara itu.