Mengenang 40 tahun pemergian Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Tun Dr Mahathir Mohamad berkongsi cerita bagaimana beliau menyifatkan pemergian Bapa Pembangunan itu sebagai sesuatu yang sangat peribadi.
Menurut bekas Perdana Menteri keempat itu, beliau pernah dicap sebagai anak emas Allahyarham hingga menimbulkan kemarahan penyokong setia Umno.
“Amat sedih beliau diambil daripada kita amat cepat. Saya sudah tentunya bersedih kerana saya berhutang segala-galanya dengan beliau. Saya dipecat daripada Umno dan orang yang dipecat sebelum saya tidak pernah kembali kepada parti. Karier politik mereka rosak.
“Tetapi beliau bukan sahaja membenarkan saya kembali kepada Umno malah melantik saya sebagai menteri penuh,” ceritanya dalam artikel berjudul ‘Tun Razak’, di blog Chedet.cc, hari ini.
Allahyarham Tun Abdul Razak meninggal dunia pada Januari 1976 pada usia 54 tahun akibat leukemia di London.
Menyentuh soal penyakit dideritai Allahyarham itu, Tun Mahathir akui diberitahu tentang penyakit itu oleh Allahyarham sendiri sebelum beliau bertolak ke London, namun tidak dinyatakan tarikh.
“Sebagai doktor saya menyedari masalah kesihatannya. Beliau minta saya bercakap dengan doktornya, Dr Macpherson. Saya lakukan dan dapat tahu beliau tidak akan dapat bertahan untuk tempoh yang lama.
“Saya masih terkejut dengan berita kematiannya. Malaysia benar-benar kehilangan seorang pemimpin yang hebat. Beliau mungkin dapat membuat perbezaan sebenar terhadap masa depan negara yang diperjuangkan selama ini,” katanya.
Selepas kematian Allahyarham Tun Abdul Razak, Mahathir beranggapan perjalanan politiknya telah berakhir kerana beliau tidak pernah rapat dengan pengganti Allahyarham, Tun Hussien Onn.
“Tapi nyata tidak kerana Razak telah menyampaikan kata-kata yang baik untuk saya dengan Tun Hussien,” katanya.