Quantcast
Channel: Wowberita
Viewing all articles
Browse latest Browse all 4997

Rafizi Dakwa Kerajaan Kutip Cukai Minyak RM3 Bilion

$
0
0

Rakyat Malaysia bakal dikenakan cukai petrol dan diesel sehingga RM3 bilion setiap tahun jika kerajaan melaksanakan sistem penetapan harga bahan api itu berasaskan harga lantai berikutan kejatuhan harga minyak mentah dunia sehingga AS$29 setong.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata pendapatan itu bakal diraih kerajaan jika kadar cukai itu sebanyak 10 sen setiap liter serta berdasarkan jumlah penggunaan petrol dan diesel kira-kira 30 bilion liter setiap tahun.

“Tindakan pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak yang secara senyap-senyap merancang untuk menghalang rakyat dari menikmati harga minyak yang rendah adalah terkutuk dan keji.

“Jika sistem harga lantai ini dilaksanakan, rakyat Malaysia akan terus dinafikan hak untuk menikmati harga minyak yang sebenar,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas laporan Astro Awani semalam yang memetik kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Kepenggunaan dan Koperasi (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainuddin bahawa kerajaan sedang membuat kajian untuk menetapkan harga lantai bagi penjualan produk petroleum di negara ini.

Bagaimanapun Hamzah berkata, kerajaan masih kekal menggunakan kaedah Pengapungan Terkawal dalam penetapan harga runcit untuk petrol RON95, RON97 dan diesel pada Februari akan datang.

Dalam pada itu, Rafizi juga berkata kerajaan didakwa sudah pun melaksanakan mekanisme itu dalam menentukan harga bahan api itu Januari 2016 ketika harga purata pasaran telah jatuh ke paras RM1.50 seliter bagi RON95.

“Bila harga purata pasaran itu lebih rendah dari harga lantai yang ditetapkan, rakyat akan tetap membayar harga lantai iaitu RM1.60 sen seliter walaupun harga sebenarnya adalah lebih rendah.

“Perbezaan di antara harga sebenar dan harga lantai (dalam kes ini 10 sen seliter iaitu harga lantai RM1.60 tolak harga purata pasaran RM1.50) dikutip oleh kerajaan sebagai cukai,” ujarnya.

Sehubungan itu, Rafizi turut memberi amaran supaya pelarasan Bajet 2016 yang bakal diumumkan tidak memperkenalkan cukai tersembunyi seperti pelaksanaan sistem harga lantai minyak itu.

“Sekiranya sistem pelarasan harga lantai ini diperkenalkan juga, saya akan berbincang dengan rakan-rakan Pakatan Harapan untuk menganjurkan demonstrasi membantah yang sudah tentu akan mendapat sokongan rakyat,” katanya lagi.


Viewing all articles
Browse latest Browse all 4997