Bekas isteri kepada aktor Datuk Eizlan Yusof, Vie Shanti Harun menafikan dakwaan sedang bercinta dengan pelawak dan pengacara, Zizan Razak.
Khabar angin yang tersebar beberapa minggu lalu mendakwa Zizan kini sedang berkawan rapat dengan Vie Shanti. Malah ada juga yang mengatakan hubungan mereka sudah sampai ke peringkat serius.
Menerusi akaun Instagram miliknya, Vie Shanti meminta agar orang ramai berhenti menyebarkan berita itu yang disifatkan sebagai fitnah.
Menganggap penyebaran berita itu sebagai sesuatu yang sudah melampaui batas, Vie Shanti enggan namanya terus dijaja pihak yang tidak bertanggungjawab.
Tambah Vie Shanti, dia hanya mengenali Zizan sebagai rakan, apatah lagi adik lelakinya terbabit dalam industri seni.
Vie Shanti berkata, khabar angin yang tersebar membuatkan dia berasa terganggu dan memohon agar dia dan keluarganya diberikan ruang untuk menjalani kehidupan seperti biasa tanpa kontroversi.
Dalam masa yang sama, wanita itu juga berharap agar wartawan lebih bertanggungjawab dalam setiap penulisan mereka dan mengambil kira perasaan mereka yang terlibat.