Bukan isu besar “Assalamualaikum” hanya menduduki tempat kedua di Anugerah Juara Lagu ke-30 (AJL) tetapi, lebih penting, mesej yang disampaikan, kata penyanyi Faizal Tahir.
Penyanyi dan komposer terkenal itu berkata bukan mahu mengejar kejuaraan tetapi memikirkan sumbangan idea kepada masyarakat.
“Pada umur dan kedudukan saya sekarang ini, saya hanya lakukan perkara yang akan beri dampak positif kepada komuniti. Sebab itu saya di sini hari ini.
“Pada kedudukan saya, saya tidak kisah ‘Assalamualaikum’ tidak menang, saya rasa dengan yakinnya saya sampaikan mesej dengan cukup baik.
“Saya harap lagu itu bukan hanya tempat kedua di AJL, ia seharusnya lebih daripada itu,” katanya pada sidang media selepas berlangsungnya AJL di sini malam tadi.”
“Assalamualaikum” lagu dan lirik yang dihasilkan oleh Mike Chan, Omar K, Ezra Ong, Audi Mok dan Faizal sendiri membawa pulang RM35,000.
Persembahan Faizal pada malam tadi berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya apabila cuba menekankan mesej yang terkandung dalam lagu itu sendiri.
Penyanyi lagu “Selamat Malam” sebelum ini pernah tampil di pentas AJL dengan membakar piano, berenang di dalam akuarium dan menggunting rambut.
“AJL kali ini yang paling relaks saya pernah buat. Saya sudah cakap banyak kali ia lebih kepada mesej,” katanya.