Penyertaan Malaysia dalam Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) akan memastikan isu seperti perlombongan bauksit di Pahang tidak akan berlaku, ujar Senator Dewan Negara, Datuk Adam Abdul Hamid.
Jelas beliau, isu alam sekitar yang turut ditekankan dalam perjanjian itu menandakan kewajaran usaha Malaysia untuk terlibat dalam TPPA.
“Kalau kita masuk TPPA, takkan berlaku lagi peristiwa-peristiwa seperti perlombongan bauksit di Pahang.
“Bukan itu sahaja sebelum pada itu kita berhadapan masalah hutan ditebang sesuka hati di Lojing dan juga di Cameron Highlands. Sekarang ini di Bukit Gambir ditarah,” katanya semasa perbahasan usul mengenai TPPA di Dewan Negara di sini hari ini.
Peruntukan dalam TPPA itu katanya mampu memelihara alam sekitar, hutan, mencegah pembalakan haram, penyeludupan haiwan liar, dan penangkapan ikan secara tidak terkawal.
“Kita di Malaysia masih lagi dibenar guna pukat harimau, tetapi semua orang tahu pukat harimau beroperasi lebih daripada 15 batu nautika, tetapi ia masuk ke kawasan pesisir pantai. Bukan itu sahaja, kita juga berhadapan dengan pencerobohan neoayan Thailand,” katanya lagi.
Sidang Khas Dewan Negara mengenai TPPA bersidang selama sehari, hari ini.
Keputusan undi suara anggota Dewan Negara mengenai usul TPPA dijangka akan diketahui petang ini.
Ketika ini, terdapat 67 anggota Dewan Negara Malaysia.