Proton Holdings Bhd akan melaksanakan langkah yang melibatkan kenaikan harga semua kereta Proton, berkuat kuasa 15 Februari, 2016.
Langkah ini akan menyaksikan kenaikan sebanyak RM312 kepada maksimum RM2,021 bergantung kepada varian model, menurut Proton dalam kenyataan Isnin.
Kenaikan itu sejajar dengan kesan kejatuhan ringgit berikutan kebanyakan bahan mentah dibeli dalam mata wang asing.
Penyusutan ringgit telah memberi kesan kepada kos operasi syarikat dan keseluruhan rantaian eko-sistem, kata Proton.
Bagi mengurangkan impak yang memberi kesan kepada keuntungan Proton sejak Ogos 2015, syarikat telah berusaha dalam mengurangkan kos operasi dan melaksanakan rasionalisasi operasi, yang mana perlu.
Senarai penuh semakan semula harga itu akan dinyatakan di laman web Proton apabila harga baharu berkuat kuasa.