Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa memuji ketenangan serta kebijaksanaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menggunakan saluran, proses dan kaedah yang betul dalam menyelesaikan kemelut politik Kedah.
Beliau berkata, Perdana Menteri tidak mengambil langkah terburu-buru sebaliknya menggunakan pendekatan mendengar pandangan pelbagai pihak sebelum menentukan sebarang keputusan mengenainya.
Selepas kemelut tersebut tercetus katanya, Najib telah mendapat maklum balas semua pihak termasuk Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir sendiri meskipun Presiden UMNO mempunyai kuasa menentukan calon Menteri Besar.
“Dalam isu ini, Najib mengambil masa dan mengikut proses dengan berjumpa Mukhriz, ketua-ketua UMNO bahagian, wakil-wakil rakyat bagi mendapatkan maklum balas sebelum membuat sebarang keputusan.
“Selepas berpuas hati dengan maklum balas yang diterima, Perdana Menteri seterusnya menghadap Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah bagi mengemukakan calon Menteri Besar.
“Pada saya, ini satu contoh pemimpin yang menggunakan kebijaksanaan dan saya percaya kemelut ini akan diselesaikan dengan baik,” katanya kepada pemberita selepas melawat Veteran UMNO, Tan Sri Hussein Ahmad di rumahnya di Kampung Lemal, di sini hari ini.