Ketua Wanita Umno, Datuk Sharizat Abdul Jalil menegur tindakan veteran Umno, Tan Sri Rafidah Aziz yang secara jelas menolak kepimpinan presiden parti itu.
Dalam kenyataan di laman Facebooknya pada Jumaat, Shahrizat berkata, sejak kebelakangan ini kenyataan Rafidah seolah-olah menunjukkan beliau tidak lagi taat dan patuh kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Saya hairan dan geleng kepala apabila membaca posting beliau. Selama 22 tahun Tan Sri Rafidah memimpin Wanita, kami sering diingatkan supaya sentiasa disiplin dan taat patuh kepada kepimpinan parti terutama kepada Presiden.
“Prinsip ini seolah-olah telah digadai bila mana beliau secara terang menyangkal kepimpinan Presiden Umno dan membuat pelbagai persepsi serta andaian terhadap isu yang berlaku di dalam parti dan kepimpinan negara,” katanya.
Shahrizat berkata demikian bagi mengulas kenyataan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri itu mengenai isu politik terutama tentang kepimpinan Najib dan kemelut politik di Kedah.
Jelas beliau lagi, Rafidah yang dikenalinya pada hari ini seakan-akan terjebak dengan permainan pembangkang yang mahu melemahkan parti.
“Sayang seribu kali sayang, Tan Sri Rafidah yang dulu kebal dengan prinsip, kini seakan terjebak dengan permainan pembangkang untuk melemahkan parti,” katanya.
Bagaimanapun, Shahrizat berkata, Wanita Umno akan terus istiqamah memegang prinsip kesetiaan dan menyokong kepimpinan Najib sebagai Presiden Umno dan Perdana Menteri.
Katanya, langkah itu dibuat kerana Najib mengambil berat perjuangan parti dan menjaga kebajikan rakyat dengan baik ketika seluruh dunia berdepan cabaran globalisasi.
“Kesetiaan Wanita Umno kepada Presiden dan parti tidak mudah digoyah,” tegasnya.