Tindakan Mohamad Sabu melemparkan mikrofon sebaik sahaja berucap pada Himpunan 365#BebasAnwar#BebasRakyat di Penjara Sungai Buloh malam tadi dipercayai didorong oleh perasaan marah dan geram terhadap rakyat Malaysia yang didakwa masih belum menunjukkan sokongan kepada pembangkang.
Diakhir ucapannya itu, Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, usianya yang kini sudah mencecah 60 tahun belum lagi dapat melihat perubahan rakyat Malaysia dalam menyokong pembangkang.
“Ayuh..Melayu, Cina, India, Kadazan, Murut semua kaum. Tanya difri kita apakah kita pejuang atau adakah kita bermain slogan untuk menyedapkan hati saudara kita di penjara sana.
“Cisss…mari kita bangun,” tegas Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) itu dalam nada keras.
Mat Sabu adalah antara 15 pemimpin politik parti pembangkang yang berceramah pada himpunan berkenaan.
Himpunan bebaskan Anwar diadakan bersempena genap setahun Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim dipenjarakan.
Bagaimanapun, dalam ramai-ramai pemimpin pembangkang itu difahamkan, tidak ada seorang pun wakil PAS.