Seorang wanita hamil lapan bulan antara dua yang maut dalam kemalangan di Kilometer 279, Lebuhraya Utara-Selatan (Plus), arah Utara, di Nilai, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.40 pagi, mangsa, Suzan Safarina Rosli, 30 dan adik iparnya, Nadiah Hidayayul Syima Mokhtar, 28, meninggal dunia semasa menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban akibat cedera parah di bahagian kepala.
Bayi dipercayai perempuan berusia lapan bulan dalam kandungan Suzan itu turut gagal diselamatkan.
Difahamkan, lapan sekeluarga yang menaiki kereta jenis Toyota Wish itu dalam perjalanan dari Johor Bahru ke Shah Alam selepas pergi melawat saudara mara dan kenalan di Johor Bahru.
Maya Mayree Zarul Hidayat, 2 (anak Suzan) dan pemandu kereta, Zulfahizzat Mokhtar, 27, (adik ipar) mengalami cedera parah manakala Zarul Hidayat Mokhtar, 32 (suami Suzan), Faudziah Mohd Ali, 59 (ibu mertua Suzan) Mohd Izwan Amir Hamzah, 31 (suami Nadiah) dan Fairel Zhafran Mohd Izwan, 12 (anak Nadiah) hanya mengalami cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Zaldino Zaludin berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta yang dinaiki lapan sekeluarga itu terbabas sebelum terbalik.
“Siasatan awal mendapati pemandu dipercayai hilang kawalan lalu melanggar tiang lampu jalan di sebelah kiri sebelum terbabas dan terbalik di bahu kiri jalan.
“Semua penumpang telah dibawa keluar dengan bantuan anggota bomba sebelum dihantar ke hospital,”katanya di sini, hari ini.
Katanya, mayat mangsa telah dibawa ke HTJ untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada anggota keluarga.
“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.