Rakyat harus menerima realiti bahawa masyarakat tempatan, khususnya golongan belia tidak berminat untuk bekerja dalam sektor 3D iaitu bahaya, kotor dan sukar.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata ini kerana dalam beberapa bidang pekerjaan seperti pembinaan, perladangan dan perkilangan, gaji yang ditawarkan agak rendah dan bebanan kerja yang berat.
“Saya percaya industri sedemikian juga tidak mampu menawarkan gaji yang tinggi, justeru kita tiada pilihan selain terpaksa mengambil pekerja asing,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan aplikasi ‘fitness in my pocket’ di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Ahad lepas yang mencabar belia tempatan mengambil alih tempat pekerja asing untuk bekerja di sektor 3D.
Khairy berkata kenyataan Ahmad Zahid itu menjelaskan mengenai realiti mengenai bidang yang tidak diminati rakyat tempatan dan memerlukan pengambilan pekerja asing untuk bekerja di bidang itu.
Baru-baru ini, kerajaan dilapor merancang untuk membawa masuk 1.5 juta pekerja dari negara Bangladesh yang akan dilaksanakan dalam tempoh tiga hingga lima tahun.
Sementara itu, mengenai aplikasi baharu yang dilancarkan itu, ia dibangunkan oleh eSolved MSC Sdn Bhd yang membolehkan pengguna telefon pintar untuk melatih dan membuat senaman sendiri dengan mudah.